Sunday 13 January 2013

b0La sEpaK

Nama: Muhammad Faiz Hatim bin Rahim
Sukan yang diminati: Bola Sepak

Sebab meminati:

Bola dan lelaki. Dua benda yang tidak akan dapat dipisahkan sampai bila-bila. Kecualilah kalau dia seorang 'kaki bangku'. Salah satu sukan yang dapat membentuk perpaduan di Malaysia tanpa mengira usia, latar belakang, bangsa dan kepercayaan. Bola sepak adalah sukan yang paling banyak dimainkan dan ditonton di seluruh dunia. Menurut FIFA sukan bola sepak telah diperkenalkan sejak abad ke-3 SM. Jadi, tidak hairanlah jika bola sepak dikenali ramai kerana sukan ini merupakan antara sukan yang terawal yang dicipta oleh tamadun manusia. Sukan ini dimainkan secara kumpulan. Dua kumpulan akan dibahagikan sama ramai ahlinya dan setiap kumpulan akan terdiri daripada sebelas orang pemain. Walaubagaimanapun, permainan ini juga turut dimainkan secara 7 sepasukan ataupun 9 sepasukan. Bergantung kepada keadaan. 

Berbalik kepada sebab meminati sukan bola sepak. Tidak seperti orang lain, saya agak terlewat dalam mengenal sukan ini. Sejujurnya saya bukanlah seorang yang suka bersukan semasa dibangku persekolahan. Tambahan pula saya seorang yang gemuk semasa berada di sekolah rendah. Saya lebih selesa duduk di tepi padang dan memerhati dari jauh kawan-kawan saya bermain. Tidak pernah saya terfikir untuk mewakili sekolah dalam sukan bola sepak. Saya tahu, ramai lagi kawan saya yang lebih berbakat. Semasa di sekolah rendah, satu-satunya sukan yang pernah saya wakili sekolah adalah Hoki. Itu pun sebab ramai yang tak nak main. Mungkin sebab hari-hari saya turun training buatkan cikgu rasa kesian dan cikgu ambil saya untuk wakil sekolah. Memang takde bakat langsung.

Disebabkan tidak berbakat dalam bidang sukan, masuk je alam sekolah menengah saya lebih menumpukan dalam bidang akademik. Kononnya. Semasa berada di tingkatan tiga, satu pagi sewaktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan kesihatan, saya telah ditampar oleh cikgu. Peristiwa yang menyebabkan diri saya berubah daripada seorang yang tidak bersukan kepada seorang yang aktif bersukan. Bila ditanya cikgu sebab kenapa saya ditampar, hanya satu jawapan yang keluar dari mulut cikgu. 'Awak tak bersukan dan tak wakil sekolah untuk mana-mana acara sukan'. Malu kena tampar depan kawan-kawan sekelas yang lain. Saya tekad untuk berubah. Orang lain pon belajar jugak tapi bukan macam saya sampai tidak bersukan langsung. Kebanyakan pelajar dalam kelas saya adalah atlet dan mewakili sekolah dalam acara sukan masing-masing. 

Sejak hari itu, masuk saja tingkatan empat, saya terus aktif bersukan. Dimulakan dengan sukan ragbi. Tiap-tiap hari saya turun latihan dan hasilnya saya diterima masuk dalam pasukan ragbi sekolah.  Pasukan kami menang dalam beberapa kejohanan. Rasa teruja bila menang sesuatu pertandingan hasil usaha belatih bersungguh-sungguh bersama-sama ahli pasukan yang lain. Seterusnya hoki, sukan yang paling susah bagi saya untuk bermain dan mahir tentangnya. Namun, dengan sedikit asas yang ada, saya diterima masuk dalam pasukan. Walaupun tidak memenangi sebarang kejohanan. Tapi saya puas dapat mewakili sekolah. 

Seterusnya untuk membuktikan kepada cikgu yang pernah menampar saya dahulu bahawa saya bukan seorang 'ulat buku' saya menyertai pemilihan wakil sekolah bagi sukan bola sepak. Satu-satunya sebab saya tekad untuk menyertai skuad bola sepak adalah kerana jurulatih bola sepak tersebut ialah cikgu yang pernah menampar saya dulu. Kali ini saya akan buktikan bahawa saya bukanlah kaki bangku seperti yang dia fikirkan selama ini. Hari-hari saya turun latihan. Saya tahu ini adalah tahun akhir saya di sekolah itu dan tidak akan lepaskan peluang ini walaupun saya tahu mereka yang bersaing dengan saya antaranya pernah mewakili sekolah dalam sukan ini. 

Hasil usaha saya berbaloi kerana saya diterima masuk dalam pasukan. Akhirnya saya dapat buktikan yang saya bukan kaki bangku seperti yang difikirkan. Kami bermula dengan cemerlang dalam kejohanan tersebut. Hasil kerjasamaa sepasukan dengan bimbingan jurulatih yang bagus kami menjadi JOHAN daerah Kuala Terengganu Utara. Pengalaman yang cukup bernilai. Bola sepak membentuk semangat kerjasama yang tinggi antara ahli pasukan. Terima kasih Cikgu Asman atas bimbingan yang diberikan dan kerana tampar saya. Kalau bukan kerana cikgu mungkin saya masih lagi seorang budak yang pasif dan tidak pandai bersukan. Terima kasih untuk segalanya. Kenangan yang akan saya ingat sampai bila-bila. Sejak hari itu, saya akan bermain bola jika ada kelapangan. Nasihat saya kepada kawan-kawan di luar sana agar bersukan dan jangan hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja. Badan yang sihat menjamin pemikiran yang kreatif. 






        
         Itu sahaja post saya pada kali ini. Terima kasih kerana sudi melawat dan membaca blog kami. ^^

 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...